Berita

KPDNKK Bintulu menjalankan 1,007 pemeriksaan di empat bazar Ramadan
Tarikh : 21 Jun 2017  Sumber Berita: Utusan Borneo
 


PERIKSA: Abdul Hafidz (kanan) bercakap kepada pemilik gerai makanan di Bazar Ramadan Pantai ABF.

BINTULU: Pasukan Penguatkuasaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Bintulu telah menjalankan 1,007 pemeriksaan di empat bazar Ramadan di Bintulu sebelum ini.

Penguat kuasa KPDNKK diketuai Ketua Penguat Kuasa Negeri Abdul Hafidz A Rahim seterusnya menjalankan pemeriksaan susulan petang kelmarin dalam operasi Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) dengan agensi berkaitan dan memeriksa 30 gerai di bazar Ramadan Pantai ABF.

Empat agensi terlibat ialah Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Pejabat Kesihatan Bahagian Bintulu.

Abdul Hafidz berkata, daripada pemeriksaan itu setakat ini semua pengusaha gerai makanan di empat bazar Ramadan di sini mematuhi peraturan dan undang-undang.

“Begitupun pasukan penguat kuasa kami meneruskan pemeriksaan tetap di bazar-bazar terbabit,” katanya selepas menyertai 40 penguat kuasa semasa operasi NBOS tersebut.

Di Bintulu, terdapat sejumlah 196 gerai dibuka di empat bazar merangkumi 108 lot gerai di Dataran Esplaned, ruang lapang Kampung Assyakirin (28 buah), Pantai ABF (30) dan Pusat Sukan Kidurong (30).

Katanya, operasi NBOS merupakan usaha berterusan KPDNKK dan agensi-agensi kerajaan yang lain bafi mengukuhkan penguatkuasaan agar lebih berkesan melindungi hak-hak pengguna.

“Dengan operasi NBOS ini, setiap agensi menguatkuasakan undang-undang masing-masing,” katanya sambil menambah, operasi itu dilaksanakan di seluruh negeri.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata KPDNKK Bintulu telah memeriksa 5,066 premis di Bintulu terdiri daripada 3,719 premis di kawasan bandar dan 1,347 di luar bandar.

“Sebanyak 52 kes pelbagai kesalahan direkodkan pada 17 Jun melibatkan rampasan bernilai RM1,201,467.32 dengan 40 kes diselesaikan dan RM9,600 kompaun dikenakan,” katanya.

Beliau berkata, sehingga 17 Jun ini, KPDNKK Bintulu turut menerima 20 aduan dengan tujuh kes disiasat dan diselesaikan.

Justeru, beliau menasihati peniaga mematuhi undang-undang perdagangan sekiranya tidak ingin tindakan tegas diambil.

“Bagi pengguna, sebelum membeli barangan atau perkhidmatan, berhati-hati, bandingkan harga dan paling penting elak berbelanja lebih daripada kemampuan,” katanya.

Font Size AAA