Berita

Terminal Bas Bintulu Sentral Yang Baru
Tarikh : 25 Oct 2017  Sumber Berita: Utusan Borneo
 

BINTULU: Terminal Bas Bintulu Sentral akan mula beroperasi sepenuhnya pada 25 Oktober ini, kata Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA), Rodziah Morshidi. Jelasnya, Terminal Bas Medan Jaya terletak bersebelahan terminal bas baharu ini akan ditutup tepat 12 tengah malam 24 Oktober sekali gus membuka lembaran baharu kepada perkhidmatan terminal bas lebih moden, selesa dan berhawa dingin.

“Pembukaan terminal bas baharu ini sekali gus memboleh penduduk dalam serta luar kawasan Bintulu menikmati kemudahan terminal bas dibuka 24 jam serta bertaraf antarabangsa termasuk meningkatkan kualiti perkhidmatan pengangkutan bas di wilayah tengah negeri ini,” katanya. Beliau berkata demikian pada sidang media diadakan bertempat di Tingkat 1, Hotel Li Hua Bintulu, di sini semalam.

Beliau berkata, terminal bas baharu ini mempunyai 17 kaunter tiket, 37 ruangan parkir bas dan empat ruangan parkir dikhas buat bas pelancongan. katanya, terminal bas ini juga turut dilengkapi dengan ciri keselamatan khas termasuk Kamera Litar Tertutup (CCTV) bagi memastikan keselamatan orang awam menggunakan terminal terbabit setiap hari. “Semua ini jelas membuktikan BDA bersama agensi kerajaan berkaitan amat menekankan kualiti prasarana serta infrastruktur di Bintulu dalam usaha menjadikan bandar ini tempat yang selesa untuk didiami,” ujarnya lagi. Beliau turut berkata perancangan rapi sedang dirangka bagi memajukan tapak terminal bas yang lama yang mana ianya adalah sesuatu yang sudah pasti akan memberikan keselesaan buat masyarakat sekitar kawasan Bintulu.

Pengarah Urusan Hock Peng Organissation, Datuk Toh Chew Hock dan Pengurus Besar (Khidmat Alam Sekitar) BDA Wan Ibrahim Wan Ali antara yang hadir.

Font Size AAA