Berita

Pertandingan kebersihan premis galak penyediaan makanan bersih
Tarikh : 08 Nov 2017  Sumber Berita: Utusan Borneo Online
 

BINTULU: Pertandingan Kebersihan Premis Makanan landasan terbaik menggalakkan budaya penyediaan makanan secara bersih dan sihat dalam kalangan peng-usaha.

Pengurus Besar (Khidmat Alam Sekitar) Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) Wan Ibrahim Wan Ali berkata pertandingan itu menjadi pendekatan proaktif BDA mendekati pengusaha kedai kopi di sini agar menjaga kebersihan premis masing-masing.

“Pertandingan ini turut mendapat kerjasama Kelab Rotary Bintulu dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Bintulu, berupaya menjadikan setiap kedai kopi di sini mencapai tahap kebersihan terbaik,” katanya pada pelancaran Pertandingan Kebersihan Premis Makanan 2017/2018 di sini semalam.

Beliau berharap pengusaha kedai kopi sentiasa memandang berat aspek kebersihan premis kerana penilaian dilakukan mengambil kira beberapa kriteria. Wan Ibrahim turut menasihati pemilik premis makanan di sini sentiasa menjaga kebersihan sistem perparitan dengan tidak membuang sisa minyak serta sisa makanan ke dalam parit.

“Ini memastikan parit tidak tersumbat dan mengelak wabak penyakit terutama pembiakan tikus, nyamuk dan lipas di tempat yang kotor,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Teknologi Makanan KKM Sylvester William Silan berkata sebanyak 22 premis makanan sekitar Bintulu diarah tutup kerana didapati terlalu kotor serta tidak mempraktikkan penyediaan makanan bersih.

“Statistik ini merupakan premis makanan diarah tutup dari awal tahun ini sehingga November ini,” katanya.

Jelasnya, KKM meng-arahkan premis makanan tersebut ditutup selama 14 hari bagi membolehkan setiap pemilik membersihkan premis masing-masing.

Hadir sama Presiden Kelab Rotary Bintulu Lee Lei Kiak serta ahli jawatankuasa pertandingan kebersihan.

Font Size AAA