Berita

BDA anugerah kontrak RM5.8 juta kepada beberapa kontraktor
Tarikh : 23 Dec 2017  Sumber Berita: Utusan Borneo Online
 

BINTULU: Kontrak bernilai RM5,833,548 merangkumi 38 pakej kerja dianugerahkan kepada beberapa kontraktor oleh Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA), semalam.

Pengurus Kanan Perkhidmatan Perbandaran (PERBINDA) BDA Abdul Wahab Hashim berkata kontrak terbabit melibatkan pemotongan rumput, lorong belakang, pembersihan pejalan kaki dan kutipan sampah di bawah bidang kuasa BDA, tidak termasuk Sebauh dan Tatau.

"Kami mengucapkan tahniah kepada semua kontraktor terpilih dan anugerah itu membolehkan kerja-kerja berkaitan dilakukan bagi BDA.

"Kami harap semua kontraktor dilantik mengekalkan perkhidmatan terbaik dan menjalankan kerja dengan penuh berkualiti kerana membawa kesan prestasi BDA," katanya kepada pemberita semasa taklimat dan majlis penyerahan tapak di sini semalam.

Katanya, kerja-kerja itu perlu dilaksanakan dengan lancar berdasarkan kepada spesifikasi kontrak yang dipersetujui.

Beliau berkata, tempoh kontrak itu bermula pada 1 Disember 2017 dan berakhir 30 November 2018. "Kerja-kerja kontrak itu adalah sama tetapi berlainan dari segi lokasi bidang kuasa BDA termasuk kawasan Samalaju," katanya.

Menurutnya, kebanyakan kontraktor dilantik adalah kontraktor-kontraktor sama sebelum ini dan ada antaranya kontraktor baharu.

"Memandangkan kawasan Bintulu semakin berkembang, lebih banyak kontrak akan dianugerahkan, jumlah dan kawasan yang semakin meluas bergantung kepada fasa pembangunan di Bintulu," ujarnya.

Font Size AAA