Berita

Taman Tumbina kembali menjadi daya tarikan pelancong di Bintulu
Tarikh : 31 Dec 2018  Sumber Berita: http://www.frontdesk.com.my
 

BINTULU, 31 Dis : Taman Tumbuh-Tumbuhan dan Binatang (Tumbina) Bintulu kembali menjadi tumpuan pelancong yang datang ke bandar minyak ini apabila hampir 200,000 orang mengunjungi taman itu sejak ia dibuka semula pada Jan 2018.

 Pengurus taman, Kamil Bujang berkata Taman Tumbina yang pertama di Sarawak itu dibuka secara rasmi pada 2 Ogos 1991 tetapi ditutup sementara pada 2017 bagi kerja-kerja baik pulih serta penyelenggaran.

 “Sejak dibuka semula jumlah pengunjung menunjukkan perkembangan yang positif.

“Berdasarkan statistik sejak Jan hingga Nov 2018,  seramai 196,686 pengunjung telah melawat Taman Tumbina ini ,” katanya kepada Bernama.

 Kamil berkata, daripada jumlah itu 145,969 orang ialah pengunjung dewasa manakala 50,717 orang lagi ialah kanak-kanak.

 Taman ini diuruskan oleh  Lembaga Kemajuan Bintulu.

Beliau berkata selain pelbagai spesies binatang,serangga dan tumbuhan yang menjadi daya  tarikan, tiada bayaran masuk ke taman tersebut juga  adalah salah satu faktor jumlah pengunjungnya  menunjukkan trend yang positif.

 Untuk rekod sebelum ini Taman Tumbina Bintulu mengenakan caj masuk RM2 bagi seorang dewasa dan 50 sen untuk kanak-kanak berumur tujuh hingga 12 tahun.

 Kamil berkata, majoriti pengunjung adalah warga tempatan namun ada juga pelancong luar negara seperti dari Perancis, Jerman dan Afrika Selatan.

Dari segi penambahbaikan, beliau berkata, ia melibatkan infrastruktur taman antaranya kandang haiwan dan laluan untuk keselesaan pengunjung.

Bagi perancangan seterusnya, beliau berkata pihaknya bercadang menambah spesies burung serta binatang yang lain.

 “Bagaimanapun Ini bergantung kepada kesesuaian spesies tersebut untuk di tempatkan di Taman Tumbina serta faktor kewangan,”katanya.

Buat masa sekarang antara daya tarikan taman ini  ialah rusa, memerang, landak, arnab, dan  harimau di samping  pelbagai jenis burung antaranya enggang,helang,ayam,angsa dan bangau,  pelbagai jenis ikan seperti Koi,Tilapia dan Keli. selain reptilia seperti buaya,ular sawa serta kura-kura dan serangga seperti rama-rama.

Taman Tumbina Bintulu juga  mempunyai  Dataran Orkid, Kaktus dan Taman musim bunga.

Dengan hanya memakan masa 30 minit perjalanan dari pusat bandar Bintulu , Taman Tumbina ini memberi peluang kepada pengunjung melihat sendiri kehidupan pelbagai spesies rimba sambil berekreasi.

Font Size AAA