News

Bintulu harus jadi lebih baik untuk dihuni
Posted on : 30 Jun 2015  Source of News: Utusan Borneo
 


PENGHARGAAN: Johnny (tujuh kanan) menyampaikan cenderamata kepada Rodziah sambil disaksikan oleh pengurus-pengurus, pegawai kanan BDA dan ahli jawatankuasa SUPP Cawangan Bintulu.

BINTULU: Bermula dari sebuah perkampungan nelayan kecil, Bintulu kini menjadi sebuah bandar besar di Sarawak dengan pertumbuhan pelbagai industri dan peningkatan populasi, sekali gus menuntut usaha menjadikannya lebih baik untuk didiami.

Setiausaha Pergerakan Pemuda Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Bintulu Soo Li Ching berkata, di samping menjadi lokasi penting membantu meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara, tempat untuk menjana keuntungan dalam perniagaan dan menawarkan peluang pekerjaan untuk penduduk tempatan dan luar, Bintulu juga wajar diangkat menjadi sebuah tempat yang baik untuk didiami.

“Kami berharap slogan ‘Together We Make Bintulu Better’ tidak hanya sekadar slogan tetapi sebagai satu motivasi untuk semua rakyat dan pihak berkuasa tempatan Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) untuk sama-sama mengambil tindakan dan pendekatan menjadikan Bintulu benar-benar sebuah tempat yang lebih baik,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam laporannya pada Sesi Dialog SUPP Bersama BDA dihadiri oleh Pengurus Besar BDA Rodziah Morshidi dan Pengerusi SUPP Cawangan Bintulu Johnny Pang, pengurus-pengurus, pegawai kanan BDA serta ahli-ahli SUPP di Wisma Bintulu kelmarin.

Begitupun, katanya, Pemuda SUPP menghargai segala usaha yang dilakukan oleh BDA, maka berharap ia tidak terhenti setakat itu sahaja sebaliknya diteruskan dengan inisiatif susulan.

“Kami faham untuk menjadikan Bintulu sebuah tempat yang lebih baik, BDA perlu sedikit masa untuk menyelesaikan isu-isu yang ada peringkat demi peringkat.

“Kami menghargai usaha BDA untuk mengambil tindakan segera dan menyelesaikan isu yang memerlukan penyelesaian segera,” katanya.

Antara isu itu ialah masalah kesesakan di beberapa laluan di Bintulu merangkumi cara alternatif untuk mengelak kesesakan di Jalan Sebiew dengan penggunaan Jalan Tun Hussein Onn, jalan yang diliputi pasir dan berlumpur yang berbahaya kepada pengguna jalan raya.

Masalah lain ialah pusingan ‘U’ di hadapan Taman Permaisuri yang kerap kali berlaku kemalangan, halangan pandangan kepada pengguna jalan raya akibat pokok yang ditanam terlalu banyak, persimpangan jalan di hadapan Taman Heng dan Stesen Minyak Petronas di Jalan Sebiew yang memerlukan lampu isyarat kerana banyak kenderaan melakukan pusingan ‘U’ yang boleh mengundang risiko kemalangan, katanya.

“Banjir kilat juga perlu diberi perhatian di Jalan Sebiew, pemasangan papan tanda amaran lebih besar di kawasan jambatannya di Jalan North South yang melarang pengguna jalan raya agar tidak membuat pusingan ‘U’ yang mengelirukan pengguna lain pada waktu malam termasuk digenangi air berikutan sistem perparitan yang kurang baik.

Beberapa isu lain ialah ruang parkir yang dibina di pusat komersial tidak memenuhi bagi ruang parkir terutama bagi kenderaan yang lebih panjang dan besar sehingga mengakibatkan laluan jalan dua lorong menjadi satu lorong dan sempit.

Font Size AAA