News

SK One Garden City Bintulu binding targets towards green city.
Posted on : 25 Jan 2017  Source of News: The Borneo Post
 


(Only available in Malay version)
BAHAGIAN Bintulu mampu terus membangun menjadi sebuah bandar raya hijau tanpa mengetepikan usaha penjagaan kebersihannya melalui usaha sama pelbagai pihak membabitkan pemaju hartanah dan masyarakat setempat.

Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) Rodziah Morshidi berkata, apabila beliau mendengar mengenai SK One Garden City yang ingin membangunkan sebuah pusat komersial dengan memperuntukkan kawasan hijaunya di Bintulu, beliau melihat ia sebagai memenuhi kehendak BDA yang turut menekankan kepada pembangunan seumpamanya.

Katanya, sebagai pihak berkuasa tempatan pihaknya sedia untuk membantu lebih-lebih lagi dengan sasaran BDA untuk mencapai sebuah Bandar Raya Perindustrian Mesra pada tahun 2020.

“Tetapi saya bimbang dengan keadaan semasa yang boleh menyebabkan sasaran itu tidak mampu dicapai dan direalisasikan sekali gus memerlukan penekanan kepada usaha susulan,” ujarnya berucap pada Upacara Pecah Tanah Pembangunan SK One Garden City di Jalan Sultan Iskandar, Sabtu.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif SK Tiong Group of Companies merangkap Pengerusi CCK Consolidated Holdings Bhd Tan Sri Datuk Tiong Su Kuok dan isteri Puan Sri Wong Bak Hee serta ahli perniagaan ternama tempatan, Datuk Dr Wong Aik Loung.

Dengan populasi semasa Bintulu yang hampir mencecah jumlah penduduk yang diperlukan seperti Miri yang mempunyai populasi 300,000, Rodziah berkata, keadaan itu perlu dikaji semula sekiranya ingin mencapai tujuan tersebut serta sasaran itu dilihat masih jauh.

Begitupun katanya, sekiranya Bintulu ada kelebihan lain membabitkan pembangunan universiti, pusat perubatan, sekolah antarabangsa dan pelbagai fasiliti lengkap lainnya kemungkinan ini mampu menjadi sebahagian daripada penyumbang untuk menempatkan Bintulu menjadi sebuah bandar raya.

“Masyarakat umum mungkin mengetahui beberapa tindakan yang dilakukan oleh BDA untuk memastikan bandar Bintulu sentiasa bersih antaranya melalui pembanterasan terhadap pihak tidak bertanggungjawab yang membuang sampah secara haram,” tegasnya.

Katanya, usaha itu memerlukan kerjasama dan bantuan daripada masyarakat setempat memandangkan sesebuah bandar itu perlu bersih terlebih dahulu sebelum ia mampu mencapai taraf sebuah bandar raya.

“SK One Garden City pula melaksanakan pembangunan yang baik terhadap bandar ini (Bintulu) kerana kita juga mula melaksanakan usaha yang sama untuk menjadikan Bintulu sebuah bandar hijau dengan memberi keutamaan kepada pembangunan tamannya,” jelasnya.

Katanya, dengan pembangunan 100 unit lot komersial, 296 unit pangsapuri, pusat beli-belah dengan pendingin hawa serta pasar raya berkeluasan 93,000 kaki persegi, 1,200 ruang parkir akan mampu memenuhi keperluan masyarakat setempat dan arah yang tepat berikutan generasi muda yang mungkin lebih selesa memilih untuk mendiami pangsapuri.

“Generasi muda pada masa kini lebih suka mendiami kediaman yang kecil yang dihiasi taman hijau serta dilengkapi kemudahan WiFi atau Unifi untuk melayari Internet.

“Keperluan dalam menyediakan kemudahan taman permainan untuk kanak-kanak juga perlu diberi keutamaan sebagai tempat yang selamat untuk ibu bapa bekerja yang membawa anak-anak mereka beriadah,” ujarnya.

Selain itu katanya, dengan penyediaan segala kemudahan seumpamanya yang mampu untuk dinikmati para pembeli hartanah terbabit saya turut menyeru agar pemaju tidak mengenepikan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka melalui kerja-kerja kebajikan untuk membantu golongan yang memerlukan.

“Ia perlu dilakukan melalui kerjasama dengan pelbagai pihak termasuk BDA sendiri yang akan turut menyokong dan membantunya,” katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Urusan Kumpulan SK Gold Land Sdn Bhd, John Tiong Chiong Hiiung berkata, pihaknya prihatin terhadap kualiti hidup yang bagi mereka pembangunan tidak hanya berkaitan pembinaan blok bangunan konkrit tetapi membawa kehidupan yang lebih baik.

“Ada rasa yang mendalam tentang kebanggaan peribadi dan kepuasan yang diperolehi melalui usaha menyumbang kepada gaya hidup rakyat agar bertambah baik.

“Pembangunan SK One Garden City menunjukkan dedikasi kami untuk membawa kehidupan tersebut. Dalam sebuah bandar yang sibuk, kami memperkenalkan taman menegak yang pertama di Sarawak untuk membawa angin segar ke dalam hidup anda.

“Ini sebabnya kami menamakan tempat itu sebagai Garden City. Visi kami untuk menyedia generasi akan datang menikmati alam semula jadi dalam bangunan konkrit kerana kehidupan bukan sekadar menikmati benda-benda yang dilihat dan diukur tetapi untuk menerima dan menikmati alam semula jadi yang telah dikurniakan,” katanya.

Katanya, untuk membolehkan masyarakat mempunyai gaya hidup yang lebih baik, pihaknya membawa alam semula jadi dekat kepada masyarakat.

“Untuk memperkayakan lagi gaya hidup anda, SK One Garden City membangunkan sebuah pusat beli-belah, lot komersial, pasar raya dan kediaman yang mana anda boleh menikmati kemudahan seperti rumah kelab, kolam renang, gimnasium, kolam kanak-kanak dan sebagainya.

“Ini adalah usaha yang dilaksanakan untuk merealisasikan komitmen kami menjadikan tempat ini sebagai satu modal untuk menikmati gaya hidup dinamik, membawa semua orang yang tinggal di sini merasai hidup yang baik dalam satu tempat,” jelasnya.

Latar belakang pembangunan SK One Garden City adalah menggabungkan `’Lush Vertical Living Walls’ yang tertutup pertama seumpamanya atau dikenali sebagai `’Taman-Taman Menegak’ di Sarawak yang akan menjadi perintis kepada Sistem Pengairan Automatik Lengkap.

Taman ini mempunyai fungsi penapisan terhadap debu dan zarah bawaan udara yang mampu memerangkap pada daun-daun pokok yang ditanam di persekitaran bangunannya, melindunginya daripada terus terdedah kepada cahaya matahari dan mengurangkan pemindahan haba ke dalam bangunan.

Projek ini bukan sahaja menggabungkan sifat hijau malahan menampilkan seni bina unik yang menekankan kepada persekitaran hijau yang akan menyerap tiupan angin segar ke kawasan bandar yang sibuk dan mampu menenangkan fikiran kepada pengunjung yang memasuki kawasan itu.

Pembangunan pusat komersial SK One Garden City terdiri daripada dua baris unit hadapan rumah kedai yang membentuk `’Street Mall’ iaitu satu konsep moden untuk membeli-belah.

Tidak seperti pusat beli-belah sedia ada yang dilengkapi dengan pendingin hawa, SK One Garden City pula memberikan pengunjungnya pengalaman selesa semasa membeli-belah sambil menikmati udara segar secara semula jadi dan persekitaran yang hijau.

Pangsapuri juga bakal dibina di atas unit-unit komersial yang memberi kemudahan akses terus kepada kedai-kedai, pasar raya dan pusat beli-belah di kawasan itu serta akan menempatkan kawasan rekreasi yang menyediakan kemudahan seperti rumah kelab, kolam renang, gimnasium, kolam untuk kanak-kanak, bilik permaian, taman barbeku, taman-taman landskap dan sebagainya.

Memperlengkapkan lagi kemudahan di SK One Garden City ialah penyediaan 1,200 ruang parkir bawah tanah secara percuma untuk pengunjung dan membina reka bentuk laluan di seluruh bangunan yang sistematik bagi melancarkan pergerakan lalu lintas di jalan utama.

SK One Garden City adalah projek yang menggabungkan ruang hijau alam semula jadi, pusat komersial, tempat riadah dan kediaman di satu lokasi.

Projek pembinaan SK One Garden City yang berkos RM250 juta dijangka siap dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang.

Font Size AAA