News

Gerak gempur untuk bendung kes denggi
Posted on : 23 Aug 2014  Source of News: Utusan Borneo
 


(Only Available in Malay Version)

BINTULU: Beberapa lokasi di dua tapak pembinaan yang diperiksa oleh Jabatan Kesihatan Bahagian Bintulu dalam Ops Gempur Aedes Siri 7 semalam didapati positif sebagai tempat pembiakan aedes.

Pemeriksaan di tapak pembinaan pertama menyaksikan 10 lokasi positif sebagai tempat pembiakan aedes merangkumi air bertakung dalam tong-tong dram, kolam air dan parit.

Manakala di tapak pembinaan kedua di Sungai Plan, dua lokasi positif dikenal pasti sebagai lubang paip serta simen yang menakung air.

Pegawai Sains Ahli Kaji Serangga Jabatan Kesihatan Bahagian Bintulu Muhd Zharif Mohd Nor berkata, bagi tapak pembinaan pertama, satu notis di bawah Seksyen 8(3)(aa) Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit (APSPP) 1975 dikeluarkan untuk arahan pembersihan dan kompaun RM500 dikenakan ke atas pemilik premis, selain notis penutupan beberapa tempat di tapak berkenaan selama tujuh hari.

“Bagi tapak pembinaan kedua, satu notis di bawah Seksyen 8 dikeluarkan untuk arahan pembersihan dan kompaun berjumlah RM500 dikenakan, namun tiada arahan penutupan dikeluarkan,” ujarnya semasa dihubungi di sini, semalam.

Terdahulu operasi itu diketuai oleh Pegawai Kesihatan Bahagian Bintulu, Dr Azlee Ayub dengan dibantu oleh pasukan penguat kuasa dari Pejabat Kesihatan Bahagian Bintulu, Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) serta beberapa anggota polis.

Ia merangkumi enam pasukan terdiri daripada 40 anggota yang melibatkan Pegawai Kesihatan Persekitaran, Pegawai Sains Ahli Kaji Serangga, Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran, Pembantu Kesihatan Awam dan Pekerja Am.

Sementara itu, Dr Azlee berkata, Operasi Gempur Aedes merupakan aktiviti tahunan Jabatan Kesihatan seluruh negara.

“Tujuannya adalah untuk mengurangkan penyakit demam denggi memandangkan berlakunya peningkatan kes demam denggi di seluruh negara tahun ini berbanding tahun lepas,” ujarnya.

Bagaimanapun, katanya, jumlah kes di Bintulu mencatatkan penurunan 35 peratus berbanding tahun lepas yang merangkumi 45 kes dari Januari hingga Julai tahun ini, iaitu 34 kes dilaporkan di Daerah Bintulu dan 11 kes di Daerah Tatau.

Ia membabitkan 22 kes dilaporkan di kawasan bandar dan 23 lagi di luar bandar bahagian ini.

“Penurunan ini adalah hasil kerjasama masyarakat dan petugas kesihatan termasuk BDA yang memainkan peranan mengekang penularan demam denggi,” jelasnya.

Sementara itu, Ketua Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran Jabatan Kesihatan Bintulu, George Mat berkata, operasi yang dilaksanakan itu merangkumi tiga aspek iaitu Arahan Penutupan di bawah Seksyen 8(3)(aa) APSPP 1975 (Pindaan 2000) dengan membabitkan penutupan spesifik tempat pembinaan dengan mengambil kira kriteria lebih daripada dua tempat pembiakan aedes di tempat struktur kekal.

Katanya, sekiranya dikesan ada pembiakan, satu tempat takungan air hendaklah ditutup untuk tujuan pembersihan.

“Seluruh kawasan pembinaan sekiranya terdapat banyak tempat pembiakan aedes, arahan penutupan selama tujuh hari juga akan dikeluarkan untuk tujuan pembersihan,” katanya.

Menurutnya, untuk tiga tempat pembiakan seperti tayar-tayar, tin-tin cat dan kasut getah yang boleh menakung air dan membiakkan aedes, tempat itu akan dikompaun di bawah Seksyen 25 Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975.

Sementara itu, Ops Gempur yang dilancarkan pada 11 Februari lalu di Rancangan Perumahan Rakyat Sungai Plan Fasa Satu hingga Empat menyaksikan dua tempat pembiakan aedes ditemui dengan satu notis pembersihan dikeluarkan dan tiada kompaun dikenakan daripada 218 buah premis yang telah diperiksa di kawasan itu.

Dalam operasi susulan diadakan pada 26 Februari, satu notis pembersihan dikeluarkan namun tiada kompaun dikenakan ke atas 16 premis yang diperiksa serta tiada tempat pembiakan ditemui di tapak pembinaan Parkcity Commercial Square dan Times Square di Batu 5.

Operasi seterusnya dilancarkan pada 11 Mac, 8 April, 14 Mei dan 11 Jun di beberapa kawasan di sekitar Bintulu dengan beberapa notis pembersihan dan kompaun dikeluarkan ke atas pemilik premis.



 

Font Size AAA