News

Penduduk setinggan Sungai Sebatang dibela
Posted on : 30 Oct 2014  Source of News: Utusan Borneo
 

(Hanya terdapat dalam versi Melayu sahaja)

BINTULU: Masalah perpindahan penempatan penduduk setinggan di Sungai Sebatang Jalan Kudurong akan diselesai menggunakan pendekatan terbaik.

Menteri Muda Perhubungan Datuk Lee Kim Shin berkata, setakat ini belum ada sebarang keputusan mengenainya namun usaha sedang dilaksanakan untuk mencari jalan penyelesaian.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin berkata, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) cuba mencari jalan membantu penduduk terbabit.

“SUPP cawangan Bintulu juga telah turun padang mengadakan dialog dan mengumpul data sebelum ini untuk meneliti masalah penduduk setinggan terlibat,” katanya.

Beliau berkata demikian  selepas sesi perjumpaan dengan setinggan, pemaju, Pejabat Residen Bintulu, Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) dan Jabatan Tanah dan Survei (JTS) di Wisma Residen semalam.

Katanya maklumat Pejabat Residen, BDA dan JTS telah diterima dan SUPP Bintulu turut mengemuka segala maklumat penduduk berkaitan seterusnya maklumat terbabit akan dikemuka kepada pihak atasan.

Jelasnya, maklumat dikemuka kepada Ketua Menteri dan beliau sendiri akan mengambil tindakan susulan kepada pemimpin tertinggi itu bagi menjelaskan mengenai masalah serta latar belakang penempatan tersebut.

Katanya sekitar 205 rumah setinggan di Sungai Sebatang akan dipindah malah notis pindah telah diberi oleh pemaju sebelum ini.

“Saya mendengar dan menerima laporan berkaitan, seterusnya akan menyampaikannya sendiri kepada Ketua Menteri,” katanya.

Terdahulu beliau turut mengadakan lawatan kerja ke Pusat Latihan Teknologi Tinggi ADTEC Bintulu di Jalan Bintulu-Lapangan Terbang Bintulu semalam.

Timbalan Residen Pembangunan Forkanizan Dolhadi, Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Bintulu Muhammad Dino Amid, Pengerusi SUPP Cawangan Bintulu Johnny Pang, Setiausaha Politik Ahli Parlimen Bintulu Zaiedy Nor Abu Nasir, wakil-wakil JTS, BDA dan pemaju turut hadir.

Font Size AAA