News

BDA buka pejabat khidmat di Sungai Plan
Posted on : 07 May 2016  Source of News: Utusan Borneo
 


BINTULU: Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) mengambil pendekatan tepat dengan memperluas tanggungjawab penyampaian perkhidmatannya untuk lebih 10,000 populasi di penempatan di Tanjung Kidurong termasuk Samalaju dengan menubuhkan Pejabat Perkhidmatan Perbandaran di Sungai Plan di sini.

Pengurus Besar BDA Rodziah Morshidi berkata, kemudahan pejabat perkhidmatan perbandaran BDA di Sungai Plan ini amat diperlu sejak sekian lama bagi memperluas penyampaian perkhidmatan sekali gus mampu menjimat masa dan perbelanjaan pengangkutan penduduk.

“Memiliki 14 unit rumah kedai, kawasan ini bukan sahaja memerlukan pejabat BDA bahkan turut memerlukan kemudahan pejabat kecil untuk perkhidmatan kesihatan, balai polis, balai bomba,” katanya.

Beliau berkata demikian berucap pada majlis perasmian Pejabat Perkhidmatan Perbandaran BDA di MS Service Cente Sungai Plan, Lot 2843, Block 20 KLD, Jalan Tanjung Kidurong semalam.

Beliau berkata, BDA juga mewujudkan jawatan tambahan memperkukuhkan lagi peranan dan penyampaian perkhidmatan pejabat cawagannya di luar bandar termasuk Sebauh dan Tatau.

“Namun kawasan ini (Sungai Plan) memerlukan perhatian BDA. Saya menggesa agar segala kemudahan awam disedia di tempat ini dijaga sebaiknya oleh penduduk setempat,” katanya.

Katanya, BDA turut merancang mewujudkan Terminal Sejahtera di kawasan itu bagi menyedia pelbagai kemudahan seperti kawasan bandar.

“Kami mengalu-alukan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menubuhkan pusat tuisyen untuk menyediakan pendidikan anak penduduk.

“Ini termasuk penglibatan jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung untuk merubah tempat ini menjadi lebih baik,” katanya sambil menambah sesi ‘Townhall’ antara orang awam akan diadakan pada penghujung Mei atau awal Jun ini.

Jelasnya, semua kemudahan disediakan itu adalah kesungguhan kerajaan untuk memperbaiki perkhidmatan kepada orang ramai.

Rodziah berkata, Bintulu merupakan kawasan luas dan besar maka penglibatan awam penting bagi memastikan segala rancangan dan saha dibuat kerajaan dapat dijalankan dengan sempurna.

Jelasnya, memperkasa penduduk mengutamakan kebersihan untuk kesejahteraan merupakan usaha sukar namun BDA berusaha mencari pendekatan memperbaiki perkhidmatan.

“Pasar Sungai Plan amat diperlu oleh penduduk di kawasan itu untuk menjual hasil pertanian juga diwujud dan kini kerja menyiapkan kemudahan di situ sedang dijalankan.

“Kawasan ini akan menjadi tempat tumpuan menarik dan untuk itu juga pasar malam turut diwujudkan untuk memperlengkap keperluan penduduk,” katanya.

Ujarnya, semua rancangan seperti yang dihajati itu termasuk penambahbaikan perkhidmatan diharap akan meningkatkan lagi kesejahteraan penduduk di Bintulu.

Turut hadir Residen Bahagian Bintulu, Muhamad Yakup Kari; Pegawai Daerah Bintulu, Tuah Suni; Setiausaha Politik Ahli Parlimen Bintulu, Zaiedy Nor Abu Nasir; ketua-ketua jabatan kerajaan dan pengurusan kanan BDA.


Font Size AAA