1.
Tafsiran
Dalam
Peraturan-peraturan ini, kecuali dinyatakan berlainan, maka:-
‘Jawatankuasa Induk’ bererti jawatankuasa yang mengelolakan
Regata Bintulu 2008 termasuklah mana-mana jawatankuasa kecil yang
ditugaskan olehnya;
‘Lumba
Perahu’ bererti lumba perahu yang dikelolakan oleh Jawatankuasa
Induk;
‘Jawatankuasa
Teknikal’ atau JKT bererti jawatankuasa yang dilantik oleh
Jawatankuasa Induk untuk mengendalikan, mengawal dan menentukan
peraturan-peraturan lumba perahu ‘Regata Bintulu 2008’;
‘Perahu’ bererti semua kategori dan jenis perahu lumba
diperbuat dari kayu, papan lapis dan kaca gentian (fibreglass) yang
mengambil bahagian dalam lumba perahu yang dikendalikan, dijalankan
dan dikawal oleh JKT;
‘Pemilik
Perahu’ bererti tuan punya perahu atau wakil yang diberi kuasa
olehnya;
‘Hakim’
bererti pegawai-pegawai yang dilantik oleh JKT untuk meneliti dan
menentukan pemenang bagi setiap perlumbaan di garisan penamat;
‘Marshals’
bererti pegawai-pegawai yang dilantik oleh JKT untuk mengatur, mengawal
mana-mana lumba perahu dan menolak atau membatalkan mana-mana perahu
yang melanggar peraturan-peraturan yang telah ditetapkan;
‘Starters’
bererti pegawai-pegawai yang dilantik oleh JKT untuk membuat pelepasan
mula bagi lumba perahu;
‘Umpires’
bererti pegawai-pegawai yang dilantik oleh JKT untuk memantau perahu-perahu
semasa perlumbaan berlangsung.
2.
Kuasa Dan Tanggungjawap Jawatankuasa Teknikal atau JKT
(i)
JKT adalah ditugas supaya mengendalikan dan mengawal Regata dan
diberi kuasa membuat peraturan, mengatur perlumbaan, melantik pegawai-pegawai
menjadi hakim, marshal, starter dan umpire ataupun melakukan lain-lain
kewajipan yang berkaitan dengannya. JKT berhak mengenakan dan menerima
bayaran penyertaan daripada peserta yang menyertai lumba perahu;
(ii) Jawatankuasa Induk berhak menangguh atau membatalkan atau mengatur
semula perlumbaan ataupun lumba perahu atau mengurusnya dengan lain-lain
cara yang dikiranya perlu;
(iii) Semua pihak yang berkenaan dalam lumba perahu hendaklah mematuhi
arahan, kawalan, kehendak atau ketetapan JKT;
(iv) Sebarang tafsiran atau arahan yang tidak diperuntukkan dalam
peraturan-peraturan ini hendaklah diputuskan oleh JKT yang mana
keputusannya adalah muktamad;
3.
Tugas Dan Tanggungjawap Hakim Dan Umpires
(i)
Hakim adalah bertanggungjawab meneliti atau memerhati perahu-perahu
lumba yang sampai ke garisan penamat dan mencatat perahu-perahu
yang memenangi tempat pertama hingga tempat kelima dalam acara pertandingan
yang dijalankan;
(ii)
Umpires adalah bertanggungjawab memantau dan mengatur kelicinan
perjalanan perahu-perahu dari garisan permulaan hingga ke garisan
penamat dan berkuasa membatal mana-mana perahu yang melanggar peraturan-peraturan
ataupun yang sengaja atau tanpa sebab yang munasabah membahayakan
keselamatan perahu lain.
4.
Tugas Dan Tanggungjawap Marshals Dan Starters
(i)
Marshals dan starters adalah bertanggungjawab mengatur, mengawal
atau membatal mana-mana perlumbaan. Mereka juga berhak menolak mana-mana
perahu lumba yang gagal mengikuti peraturan-peraturan atau mematuhi
arahan, seliaan atau keputusan;
(ii)
Marshals dan starters adalah bertanggungjawab mengatur dan memulakan
perlumbaan dan berkuasa:-
(a) Memanggil mana-mana perahu balik ke garisan permulaan sekiranya
didapati perahu itu salah berlepas dan mengarah perahu itu bersedia
untuk berlepas semula;
(b)
Mana-mana perahu yang melakukan salah lepas semula sebanyak dua
(2) kali berturut-turut dalam sesuatu perlumbaan, maka perahu itu
akan dibatalkan penyertaannya dalam perlumbaan tersebut;
(c)
Menolak mana-mana perahu dari menyertai perlumbaan jika perahu itu
tidak berada di garisan permulaan sekurang-kurangnya lima belas
(15) minit sebelum perlumbaan itu hendak dimulakan.
(iii)
Marshals dan starters mempunyai kuasa membetul atau mengubah hala
tempat permulaan di atas arahan dari JKT setelah memberi notis yang
munasabah;
5.
Panel Rayuan
Panel
rayuan adalah ditubuhkan oleh JKT untuk menilai pertikaian yang
timbul dalam mana-mana perlumbaan. Segala aduan yang dikemukakan
oleh pemilik perahu atau wakil yang sah hendaklah dibuat secara
bertulis dalam masa dua puluh (20) minit selepas perlumbaan dan
hendaklah disertakan dengan yuran aduan Ringgit Malaysia dua ratus
(RM200.00) yang mana tidak akan dikembalikan sekiranya pertikaian
yang dikemukakan itu gagal dalam rayuan. Panel rayuan akan berbincang
dan membuat keputusan dalam kes yang dikemukakan. Panel rayuan adalah
terdiri daripada Pengerusi Jawatankuasa Induk, hakim, umpires dan
starters perlumbaan.
6.
Tugas Dan Tanggungjawab Pemilik Perahu
(i) Pemilik perahu atau wakil yang diberi kuasa olehnya adalah bertanggungjawab
ke atas kesihatan, kebajikan dan keselamatan pasukannya (pekayuh)
dan keselamatan perahunya;
(ii)
Semasa mendaftar perahunya, pemilik perahu atau wakil yang diberi
kuasa olehnya dikira telah mengambil tahu akan peraturan-peraturan
dan sanggup mematuhinya dan menentukan supaya pasukannya faham dan
menurut semua peraturan dan juga arahan JKT;
(iii) Pemilik perahu atau wakil yang diberi kuasa olehnya hendaklah
menentukan supaya tidak ada senjata merbahaya atau yang mengancam
seperti parang, senapang dan sebagainya yang dibawa atau disembunyi
dalam perahunya. Pelanggaran peraturan ini akan menyebab terbatalnya
penyertaan perahu itu dari perlumbaan dan dari memenangi hadiah
berkenaan;
(iv)
Pemilik perahu dikehendaki mengambil polisi insuran kemalangan untuk
wakil yang diberi kuasa olehnya, orang bawahannya, krew dan pekayuh
termasuk jurumudi dan menggongnya;
(v)
Pemilik perahu atau wakil yang diberi kuasa olehnya, orang bawahannya,
krew dan pekayuh termasuk jurumudi dan menggongnya diwajibkan menandatangani
surat pelepasan tanggungan indemnity untuk melepaskan Jawatankuasa
Induk dan jawatankuasa-jawatankuasa kecilnya dari sebarang tanggungan
indemnity yang mungkin akan timbul sekiranya kejadian yang tidak
diingini berlaku semasa acara-acara Regata Bintulu 2008 diadakan.
7.
Tanggungjawab Jurumudi Dan Pembantunya/Menggong
(i) Jurumudi hendaklah bertanggungjawab menentukan nombor bagi perahunya
dipamerkan dengan sempurna di bahagian belakang bajunya;
(ii)
Jurumudi adalah dilarang melepaskan tali tambatan perahunya dari
garisan permulaan sebelum tembak mula dilepaskan;
(iii)
Pembantu Jurumudi (menggong) hendaklah membantu Jurumudi, mengawal
perahu dan menentukan supaya perahu itu bergerak mengikut alur yang
tidak terlalu dekat dengan perahu lain.
8.
Jenis Perlumbaan
Jenis
perlumbaan adalah dinyatakan di dalam Jadual A yang dikepilkan.
9.
Nombor Plat/Alur
(i)
Pemilik perahu atau wakil yang diberi kuasa olehnya dikehendaki
mencabut undi bagi menentukan alur masing-masing di garisan permulaan
bagi setiap perlumbaan yang disertai;
(ii)
Pemilik perahu atau wakil yang diberi kuasa olehnya dikehendaki
mencabut undi di tempat dan masa yang akan ditetapkan oleh JKT;
(iii)
Nombor plat perahu yang diberikan untuk perahu lumba berkenaan mestilah
dilekatkan pada haluan perahu lumba;
(iv)
Perahu lumba yang diberikan angka nombor satu hendaklah mengambil
alur di tebingan Sungai Kemena sebelah kawasan Kpg. Jepak. Manakala
perahu-perahu lumba yang lain dikehendaki mengambil alur masing-masing
mengikut turutan angka nombor yang diberikan semasa cabutan undi.
10.
Nama Perahu
(i)
Nama perahu lumba mesti dipahat dalam huruf rumi besar dengan jelas
dan dicat di kedua-dua belah bahagian perahu berdekatan dengan haluan.
Perahu-perahu tidak dibenarkan melekatkan plat nama atau papan pada
badan perahu lumba;
(ii)
Nama perahu lumba hanya ditulis dengan huruf abjad dan tidak boleh
dinamakan dengan nombor angka. Contohnya ‘BUJANG SATU dan
bukan dieja ‘BUJANG 1’.
(iii)
Setiap perahu lumba hanya menggunakan satu nama sahaja untuk semua
perlumbaan dan nama setiap perahu lumba tidak boleh ditukar semasa
bertanding dari satu perlumbaan ke satu perlumbaan yang lain.
11.
Kesalahan Memotong Alur
(i)
Mana-mana perahu tidak dibenar melintasi atau memotong alur perahu
yang lain melainkan ia sudah lepas ke hadapan sejarak tidak kurang
10 meter dari perahu yang hendak dilintasi atau dipotong olehnya;
(ii)
Mana-mana perahu tidak dibenarkan menghimpit atau melanggar perahu
yang lain dan melakukan kesalahan demikian akan mengakibatkan:-
(a)
Perahu yang bersalah itu dibatal penyertaannya dan dikeluar dari
perlumbaan itu;
(b)
Kemenangan tidak sah; dan
(c)
Jurumudi dan pembantu jurumudi (menggong) perahu itu tidak dibenarkan
menjadi jurumudi atau menggong bagi sepanjang baki tempoh lumba
perahu seterusnya kecuali dibenar berkayuh sebagai anak perahu sahaja.
Nama-nama jurumudi perlu dicatat sebelum setiap perlumbaan dimulakan.
12.
Penyampaian Hadiah
Sekiranya
berlaku seri, maka perahu-perahu yang sama menang itu akan menerima
hadiah yang sama dan kedua-dua pemenang itu berhak menyertai kejohanan
bagi perlumbaan kejohanan.
13.
Yuran Penyertaan
(i)
Yuran penyertaan dan bayaran-bayaran lain hendaklah dibayar dengan
tunai oleh pemilik perahu atau wakil yang diberi kuasa olehnya ketika
mendaftar perahu masing-masing seperti berikut :-
(a) Lumba 15 pekayuh dan ke bawah - RM15.00 satu perlumbaan;
(b) Lumba 20 pekayuh - RM20.00 satu perlumbaan;
(c) Lumba 25 pekayuh - RM25.00 satu perlumbaan;
(d) Lumba 30 pekayuh - RM30.00 satu perlumbaan;
(e) No plat dan kain bernombor - RM5 bagi satu set;
(f) Yuran Aduan - RM200.00 bagi satu aduan
(ii) Bayaran-bayaran di atas tidak akan dikembalikan dan tidak boleh
dipindah milik.
(iii)
Peserta-peserta hendaklah mengisi borang penyertaan yang disediakan
oleh JKT.
14.
Pemberitahuan
(i)
Pemilik perahu atau wakilnya bertanggungjawab mengambil perhatian
akan arah anak panah yang menunjukkan tempat permulaan satu-satu
perlumbaan seperti yang dipamerkan di pentas utama (grandstand).
(ii)
Pengumuman melalui surat khabar atau penerbitan di tempat-tempat
yang jelas kelihatan oleh JKT mengenai lumba perahu adalah dikira
sebagai pemberitahuan yang memadai.
15.
Pelepasan Tanggungan
(i)
Jawatankuasa Induk serta jawatankuasa-jawatankuasa kecilnya ataupun
ejen atau orang gajinya tidak bertanggungjawab ke atas kecederaan
kepada orang atau kerosakan pada harta benda sepanjang tempoh lumba
perahu dan yang timbul daripadanya. Bagi maksud ini peserta bererti
orang-orang yang mengambil bahagian dalam perlumbaan atau kegiatan-kegiatan
Regata Bintulu 2008 yang dikendalikan oleh Jawatankuasa Induk untuk
lumba perahu dan termasuk juga penonton-penonton.
******************************
KERJASAMA
ANDA AMATLAH DIHARGAI
Ke
atas |