Berita

BDA mengadakan Program Seminar & Bengkel KIK
Tarikh : 01 Mar 2019  Sumber Berita: BDA
 

25 February 2019, Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) telah mengadakan Program Seminar & Bengkel Kumpulan Inovatif & Kreatif (KIK) di salah sebuah hotel terkemuka di Bintulu. Program tersebut telah dihadiri oleh seramai 173 peserta daripada 25 kumpulan KIK yang telah ditubuhkan di BDA.  Tujuan Program ini diadakan adalah untuk memberi pengetahuan dan kefahaman tentang aktiviti-aktiviti KIK terutama dalam aspek-aspek di bawah Horizon Baharu KIK Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak 2.0. 

 

Para peserta juga diberi panduan, bimbingan dan pendedahan dalam proses pelaksanaan projek KIK oleh penceramah jemputan, En. Dolhadi b. Hj. Mazuki dari Unit Permodenan Perkhidmatan Negeri (UPPN), Jabatan Ketua Menteri Sarawak, Kuching.

Majlis Perasmian Penutupan Program telah disempurnakan oleh Pn. Siti Aishah Othman, Penolong Pengurus Besar (Perkhidmatan Environmen) yang mewakili Pengurus Besar BDA.  Beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Unit Permodenan Perkhidmatan Negeri, JKM atas kesudian mereka menerima jemputan supaya hasrat BDA untuk mengadakan program tersebut di sini dapat direalisasikan mengikut jadual. 

Beliau juga berterima kasih kepada En. Dolhadi atas perkongsian ilmu pengetahuan, pengalaman serta kepakaran beliau dalam bidang berkaitan yang sudah semestinya telah memberi banyak manfaat kepada para peserta.  Pengurusan BDA berharap agar semua peserta dapat mengaplikasikan apa yang telah dipelajari serta melaksana inisiatif-inisiatif inovasi dan kreativiti di tempat masing-masing sebagai usaha untuk mempertingkatkan lagi mutu penyampaian perkhidmatan kepada pelanggan.

Font Size AAA