Berita

Ambil peluang pelbagai projek RTP Ambil peluang pelbagai projek RTP
Tarikh : 26 Mar 2017  Sumber Berita: Utusan Borneo
 


Chukpai (tiga dari kiri) menerima sijil keahlian daripada bekas Presiden PERKOBF Sarawak Hussaini Bujang. Turut hadir Presiden PERKOBF Malaysia Tukiman Radion ( ketiga dari kanan).

Kontraktor Kelas F harus bantu laksana projek yang diguna sebagai KPI

KUCHING: Kontraktor Kelas F di negeri ini digesa mengambil peluang daripada pelbagai projek Transformasi Luar Bandar (RTP) yang bakal dilancarkan pada bulan hadapan. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Murum Chukpai Ugon berkata, RTP berkenaan melibatkan pembinaan jalan kampung, lampu jalan, lampu isyarat serta kemudahan awam seperti dewan serbaguna, taman permainan dan perpustakaan awam atau mana-mana projek lain yang tidak melebihi had RM200,000.

“Setiap kawasan telah diperuntukkan RM5 juta untuk melaksanakan projek RTP. Projek-projek ini digambarkan dalam setiap Petunjuk Prestasi Utama (KPI) ADUN,” ujarnya semasa merasmikan Mesyuarat Agung Dwitahunan Persatuan Kontraktor Bumiputera Kelas F (PERKOBF) Sarawak di sebuah hotel di sini, semalam. Antara agensi kerajaan yang terlibat menjalankan RTP, katanya, ialah Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Tanah dan Survei, Unit Perancang Negeri, Jabatan Perbendaharaan, Unit Pemantauan Pelaksanaan Negeri, Jabatan Pengairan dan Saliran, Lembaga Kemajuan Bintulu dan majlis tempatan masing-masing.

Tambahnya, projek RTP di setiap bahagian akan diselaras oleh Pejabat Residen masing-masing. Sementara itu, beliau sependapat dengan kenyataan Ketua Setiausaha Politik Ketua Menteri Abdullah Saidol supaya tindakan tegas diambil terhadap kontraktor yang gagal melaksanakan projek yang dijalankan mengikut jadual atau spesifikasi ditetapkan oleh agensi.

“Saya berharap setiap kontraktor dalam persatuan ini dapat menyampaikan projek dan mengambil serius tentang perkara ini,” kata Chukpai yang turut dilantik sebagai Penasihat kepada PERKOBF Sarawak. Beliau mengingatkan RTP adalah amat penting kepada Sarawak kerana ia bertujuan untuk meningkatkan pembangunan fizikal serta sosioekonomi terutama di kawasan luar bandar.

 Mengenai persatuan berkenaan, Chukpai berkata, ia akan bertindak sebagai platform untuk ahli di seluruh negeri menyelesaikan isu-isu serta masalah dihadapi oleh kontraktor kelas F dengan betul.

PERKOBF Sarawak, katanya, juga menjadi tempat kepada para ahli bertukar idea dan pengalaman dalam industri pembinaan yang lebih kompetitif.

Font Size AAA