Berita

BDA serius banteras kutu sampah demi kebersihan Bintulu
Tarikh : 07 Jan 2018  Sumber Berita: Utusan Borneo Online
 

Acara berjalan kaki dilancar, kompaun serta-merta dikenakan ke atas individu langgar undang-undang kecil kebersihan.

BINTULU: Individu yang membuang sampah merata-rata akan dikenakan tindakan kompaun serta-merta di bawah Kempen Antikutu Sampah oleh Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) selaras dengan undang-undang kecil pihak berkuasa tempatan berkuat kuasa semalam.

Sepanjang kempen ini, anggota penguat kuasa BDA akan menjalankan rondaan dari semasa ke semasa ke lokasi-lokasi yang telah dikenal pasti atau kawasan tumpuan orang ramai.

Individu yang didapati melakukan kesalahan terbabit akan dikenakan kompaun sebanyak RM15 di bawah peruntukan 18(1)(f) The Local Authorities (Cleanliness) By Laws 1999 atau mengikut kadar dan kekerapan kesalahan dilakukan.

BDA turut memandang serius kes pembuangan sampah secara haram yang masih berleluasa di Bintulu dan penalti maksimum RM1,000 akan dikenakan ke atas mana-mana pesalah yang ditangkap dan boleh didakwa di mahkamah.

Pengurus Besar BDA Rodziah Morshidi berkata, BDA membelanjakan kos yang tidak perlu untuk kerja-kerja pembersihan pada setiap masa.

"Sekiranya wang tidak diguna ke arah itu, tentu kami dapat melaksanakan banyak aktiviti lain berbentuk interaksi sosial bersama komuniti, termasuk membantu golongan miskin dan memerlukan," katanya ketika melancar Kempen Antikutu Sampah di Bintulu Sentral selepas acara berjalan kaki dari Taman Tumbina pagi semalam.

Turut hadir Residen Bahagian Bintulu Jack Aman Luat, Pegawai Daerah Bintulu Mataip Sayu, Setiausaha Politik Ketua Menteri Soo Li Ching, timbalan pengurus besar serta pengurus-pengurus kanan BDA.

Rodziah berkata, acara berjalan kaki itu merupakan pendekatan untuk memberitahu komuniti bahawa pihak BDA serius terhadap kempen antikutu sampah. "Kami akan menguatkuasa-kan undang-undang (kecil) kebersihan 1999 bermula hari ini (semalam). Kerja keras akan dilakukan oleh pengurusan BDA untuk memastikan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) bagi setiap kompaun dan notis diselesaikan dengan sebaiknya," katanya.

Beliau menjelaskan, caj atau kompaun akan di-kenakan ke atas individu yang membuang sampah ke atas lantai (bukan ke dalam tong sampah).

Ini bagi memastikan kebersihan Bintulu di tahap terbaik dengan harapan kempen sedemikian akan dapat me-lahirkan komuniti prihatin dan bertanggungjawab terhadap kebersihan persekitaran, tambahnya. "Kalau tiada tong sampah, bawa pulang sampah yang hendak dibuang ke rumah. Bagi mereka yang berkelah di Tanjung Batu contohnya, sampah itu bukan berat pun hendak dibawa pulang.

"Sekiranya anda mampu membawa makanan ke kawasan pantai, maka sampah atau sisa juga boleh dibawa pulang ke rumah untuk dibuang ke dalam tong sampah.

"Sikap mementingkan diri amat berleluasa pada masa sekarang dan seharusnya komuniti tidak memerlukan penguat kuasa BDA untuk sentiasa mengingatkan mereka perkara ini. Keadaan ini begitu menyedihkan," katanya.

Justeru katanya, acara berjalan kaki seterusnya akan diadakan di Tatau dan Sebauh, manakala program bersama pihak sekolah turut dirancang untuk mendidik generasi muda dari peringkat awal agar mereka mengutamakan kebersihan Bintulu.

Sebarang pertanyaan boleh dibuat di Pejabat Perkhidmatan Perbandaran (PERBINDA) menerusi talian 086-332662 atas hantar khidmat pesanan ringkas (SMS) ke hotline 013-8362277.

Font Size AAA