Berita

Pelabuhan Industri Samalaju yang hampir siap bakal berkembang pesat
Tarikh : 18 Mar 2018  Sumber Berita: Utusan Borneo Online
 

(Hanya terdapat dalam versi Melayu Sahaja)

BINTULU: Prospek Pelabuhan Industri Samalaju disifatkan amat cerah dan bakal terus berkembang apabila pembangunan pelabuhan itu yang hampir siap memberikan kemudahan penting untuk industri yang beroperasi di Taman Perindustrian Samalaju dan perkembangan perniagaannya sehingga di peringkat global.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bintulu Port Holdings Berhad (BPHB) Dato Mohammad Medan Abdullah berkata, mengapa Pelabuhan Industri Samalaju penting, ia disebabkan industri di Taman Perindustrian Samalaju memerlukan pelabuhan ini bagi memudahkan penghantaran khususnya untuk import eksport bahan mentah atau produk yang telah siap ke pasaran global.

Justeru katanya, Pelabuhan Samalaju merupakan pelabuhan yang penting bukan sahaja sebagai tempat penghantaran barangan import eksport untuk Sarawak malah kemudahan utama mengendalikan semua keperluan di Samalaju yang berbentuk pukal dan pukal kering serta kargo yang akan memberi perkhidmatan dinamik untuk Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE).

"Kepentingan pelabuhan Samalaju juga melihat kepada lokasi strategiknya sebagai penghubung kukuh antara wilayah seluruh dunia, keadaan geografi pelabuhan ini yang terletak di kawasan antara laluan Paris dan Eropah bakal memberikan perkhidmatan kukuh untuk pasaran besar kepada pengguna pelabuhan yang merangkumi China, India dan negara ASEAN," ujarnya semasa menyampaikan taklimat kepada Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg yang dalam rangka lawatan kerja ke Pelabuhan Industri Samalaju di Taman Perindustrian Samalaju di sini baru-baru ini.

Turut mengiringi beliau dua Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Tan Sri Datuk Amar Dr James Jemut Masing, ADUN Samalaju Majang Renggi, ahli-ahli Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA) disertai Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datu Ismawi Ismuni serta Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani. Turut serta Residen Bahagian Bintulu, Jack Aman Luat, Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA), Rodziah Morshidi serta pengurusan dan pegawai dari Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA). Mohammad Medan berkata, pelabuhan Samalaju juga adalah dinamik untuk zon di Malaysia, pembangunan SCORE serta penghubung kepada laluan ke Australia, India, China, Jepun dan Korea, Panama, Afrika Selatan, Itali dan Turki.

"Ia satu rahmat bagi pelabuhan ini sebagai pusat perniagaan dan peluang kepada kami memain peranan sebagai pemangkin ekonomi penting untuk Sarawak dan Malaysia memandangkan ia terletak di tengah-tengah pertumbuhan ekonomi global," tambahnya.

Beliau berkata, lokasi ekonomiknya sebagai pelengkap kepada kemudahan Bintulu Port di bandar dan Bintulu Port mencapai kapasitinya 63 peratus sekali gus menuntut sebuah kawasan lapang hijau untuk dibangunkan sebagai kawasan pelabuhan. "Pelabuhan Samalaju sebagai penyumbang kepada Sarawak tidak boleh diambil ringan dan pemangkin utama kepada pertumbuhan SCORE, laluan utama dan hub logistik untuk Taman Perindustrian Samalaju. "Di sini beberapa projek dan pembangunan yang dilaksanakan akan dibangunkan di samping melatih pekerja berkemahiran untuk pelabuhan industri khasnya operasi marin dan kejuruteraan perlu dilakukan," jelasnya.

Susulan itu katanya, pelabuhan ini mengambil langkah besar untuk menyediakan kemudahan moden untuk memastikan kecekapan dalam pengendalian kargo. Katanya, Pelabuhan Samalaju dikorporatkan pada 28 Ogos 2012 dan perniagaan utamanya adalah menyedia kemudahan pelabuhan, perkhidmatan marin dan menyediakan kemudahan untuk industri di Samalaju dan pedalaman pelabuhan dibina di kawasan tanah seluas 393 hektar bersamaan 524 padang bola sepak.

"Ia juga 1.3 kali ganda lebih besar daripada Bintulu Port yang merangkumi 320 hektar luas keluasannya dan kos projek mencecah RM1.9 bilion membabitkan pembangunan 11 pakej kerja dan dengan siapnya pembinaan fasa satu dan bermulanya operasi pada Jun tahun lepas (2017), Pelabuhan Samalaju yang dilengkapi kemudahan terkini akan mampu mengendalikan 18 juta tan penghantaran setahun."

Dasar pelabuhannya dengan kedalaman 13.5 meter antara ketinggian bangunan empat tingkat mampu menampung 50 juta kapal atau 200 meter padu vesel. Fasa satu pembinaan dermaga dengan panjangnya adalah 1.43 kilometer,” jelasnya. Beliau berkata, beberapa pelabuhan di Malaysia yang diautomasikan dalam pengendalian pukal kering yang mana kemudahan terbaharu pelabuhan terdapat di Samalaju, dermaga, pusat penyimpanan, gudang, kemudahan terkini dan akan terus berkembang sejajar dengan perkembangan perniagaan pada masa hadapan.

Pada masa ini katanya, kapasiti pelabuhan adalah 18 juta tan setahun dan mampu menampung keperluan pada masa ini dan kami telah mewujudkan pakej pembangunan yang membenarkan pelabuhan untuk diperbesarkan daripada yang sedia ada daripada 12 juta tan kepada 30 juta tan keseluruhan khusus untuk penyediaan kemudahan penempatan bahan mentah bagi penghantaran.

Berbanding Bintulu Port sebagai pelabuhan kargo pelbagai dengan kargo terbesar yang dikendalinya adalah gas asli cecair (LNG)dan diperluaskan kepada beberapa kargo besar lain manakala Biport Bulkers Sdn Bhd (BBSB) pula istimewa untuk penyediaan kemudahan penghantaran minyak sawit dan sebagainya. Begitupun katanya Pelabuhan Samalaju lebih menumpu kepada menampung keperluan industri di Samalaju dan untuk mengoptimum kecekapannya BPHB melaksanakan beberapa fungsinya dengan kunci utamanya adalah memindah kakitangan daripada BPSB kepada BPHB.

Katanya, kakitangan merupakan kunci utama kejayaannya dengan 1,039 kakitangan atau 22 peratus adalah untuk pelabuhan industri dan seramai 300 pekerja adalah mereka yang bekerja terus di sini sebagai yang terbesar dengan 80 peratus berumur di bawah 35 tahun, muda, bertenaga dan berkemahiran.

Di samping itu katanya, penekanan penting adalah keperluan pelanggan kerana tanpa sokongan daripada pelanggan perniagaan kelas dunia kami tidak akan berjaya antaranya membabitkan para pelanggan yang terdiri daripada lima industri di Samalaju dengan pelaburan RM30.6 bilion atau AS$10 bilion sebagai satu pelaburan ekonomi kedua terbesar selepas koridor ekonomi Iskandar Malaysia.

"Kami berganding bahu dengan rakan-rakan dengan kedudukannya di Sarawak dan Malaysia dalam ekonomi global melalui suntikan kepada pengendalian kargo menjelang 2012 adalah 11 juta tan iaitu 566 vesel yang membantu pertumbuhan ekonomi Sarawak di kawasan SCORE dan kapasitinya 18 juta tan setahun pada tahun 2022 dengan kapasitinya 60 peratus," katanya.

Beliau berkata, pelan modul pelabuhan untuk kemudahan di pelabuhan Samalaju berpotensi untuk terus berkembang dan tumbuh pada masa hadapan dan kami mengalu-alukan pelanggan berpotensi untuk menggunakan pelabuhan ini.

"Apa yang kami tekankan adalah jumlah kargo, keuntungan dan kepuasan pelanggan, operasi efektif pada masa yang betul, kualiti yang dimahukan, harga yang betul, perkhidmatan dari mula hingga siap serta kawalan kualiti."

"Fokus strategi adalah komunikasi organisasi penuh dan setiap orang berhubung, pengurusan, struktur, organisasi, pertumbuhan, peribadi, sumber fizikal dan sebagainya namun keutamaan penting adalah pelanggan kerana apa yang perlu adalah kerjasama antara pusat dan negeri untuk memastikan pelabuhan Samalaju dan perindustrian di Samalaju menjadi destinasi yang akan mewujudkan lebih banyak perniagaan dan peluang," katanya.

Selain taklimat tayangan video korporat Samalaju Industrial Port Sdn Bhd (SIPSB) serta meninjau pemandangan pelabuhan dari menara tingkat lapan SIPSB. Hadir sama Ketua Pegawai Operasi SIPSB, Matshalleh Mohamad Etli, Ketua Pegawai Operasi Bintulu Port Sdn Bhd Omar Salleh, Ketua Pegawai Operasi Biport Bulkers Sdn Bhd Yusof Ibrahim serta pengurusan SIPSB.

Font Size AAA