News

BDA tetapkan visi baharu berpandukan Perancangan Strategik 2024-2030
Posted on : 03 Mar 2024  Source of News: Utusan Borneo
 

(Only available in Malay version)

BINTULU: Berpandukan Perancangan Strategik 2024-2030 Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) menetapkan visi baharunya untuk menjadikan Bintulu sebagai model keterangkuman, kebolehhidupan dan kemampanan dengan menyampaikan perkhidmatan berfokus komuniti dengan cemerlang.


Para pengamal media merakamkan kenangan bersama Muhamad Yakup (tengah), Abdul Rahim (lima kanan) dan Jeffrey (lima kiri) pada Majlis Media Nite 2024 di Bintulu, malam Khamis.

Pengurus Besar BDA Datu Muhamad Yakup Kari berkata, ia dilakukan melalui pelaburan yang strategik dan berimpak tinggi kesannya kepada masyarakat.

Menurutnya, tujuannya adalah untuk kemakmuran ekonomi dalam kalangan masyarakat, kebersamaan sosial dan kelestarian alam sekitar untuk semua lapisan masyarakat di Bintulu.

"Konsep perpaduan, keterangkuman, kolaboratif, kemakmuran ekonomi, apresiasi bakat seni dan pembangunan lestari adalah selari dengan hasrat kerajaan Sarawak melalui Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030," ujarnya Majlis Media Nite 2024 BDA di Phoenix Grand Ballroom Hotel Margherita Plaza Bintulu malam Khamis.

Sementara itu, Muhamad Yakup berkata majlis itu diadakan sebagai tanda apresiasi dan terima kasih BDA kepada media yang telah bekerjasama secara konsisten dalam menyebarluaskan penyaluran maklumat dan program, terutamanya liputan sambutan 45 tahun BDA.

Katanya, ia untuk meraikan rakan media dan semua pengamal media yang sama-sama membantu BDA dalam menyalur maklumat dan polisi kerajaan kepada masyarakat Bintulu dan Sarawak.

Justeru katanya, BDA memohon agar media dapat terus membantu dalam mempromosi kepada masyarakat Bintulu berkenaan program dan inisiatif hijau yang dianjurkan BDA dalam usaha mencapai matlamat bandar rendah karbon.

Katanya, subur dan sebarkan budaya tegur-menegur yang beradab, berhemah serta penghormatan terutamanya semasa berkomunikasi di media sosial.

"Selalu saya tekankan, kalau hendak buat aduan dengan BDA buatlah sehingga 100 ke 300 aduan, teruskan tetapi gunalah bahasa yang baik supaya cara penyelesaian dapat dilakukan dengan baik," tegasnya.

Beliau turut berterima kasih kepada Pejabat Residen Bahagian Bintulu dan Pejabat Daerah, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), persatuan dan pihak swasta yang telah membantu secara langsung dan tidak langsung dalam menjayakan program BDA. 

Katanya, sinergi yang kuat dan harmoni yang ditunjukkan adalah tunjang kepada kejayaan menjadikan Bintulu sebagai bandar contoh dari segi kolaboratif dan inklusiviti.

Sementara itu, Penolong Pengarah Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) Bahagian Bintulu Jerida Andin berkata, pihak media berterima kasih dan berbesar hati kepada BDA atas penganjuran majlis itu, sekali gus akan sentiasa membantu BDA dalam program rasmi mahupun santai.

Katanya, penganjuran majlis itu amat bermakna dalam memperlihat peranan media diiktiraf terutamanya oleh BDA sebagai agensi yang mencorak pembangunan Bintulu.

"Ini merupakan suntikan semangat kepada media untuk sentiasa proaktif dan peka dalam zaman digitalisasi seiring fasa pembangunan bidang kewartawanan.

"Kita berharap kerjasama strategik akan diteruskan bersama BDA dalam menyalurkan maklumat kepada masyarakat Bintulu bagi merealisasi misi dan visi BDA," katanya.

Beliau berkata, adalah menjadi tanggungjawab media untuk terus menyokong usaha BDA dan kerajaan Sarawak dalam program inisiatif hijau dan bandar rendah karbon.

Hadir sama Timbalan Pengurus Besar BDA Abdul Rahim Abdullah, Pegawai Tadbir (Psikologi) Pejabat Residen Bahagian Bintulu Jeffrey Jalong, pengurusan kanan BDA, ahli-ahli Persatuan Ibu Tunggal, Persatuan Perkhidmatan Warga Emas dan Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Bintulu.

Font Size AAA