News

Peniaga Bazar Ramadan Disaran Jaga Imej Baik
Posted on : 18 Mar 2024  Source of News: Edisi UKAS
 


(Only Available in Malay version).

BINTULU: Para peniaga Bazar Ramadan disarankan untuk menjaga imej baik semasa berniaga untuk mengelakkan rungutan daripada pelanggan. 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Iskandar Turkee berkata, para peniaga perlu menjalankan perniagaan mereka secara berhemah dan berintegriti. 

“Saya berharap para peniaga akan menjalankan perniagaan mereka secara berhemah dan berintegriti kerana kita tidak mahu mendengar pelbagai rungutan daripada pembeli tentang makanan atau minuman yang disediakan tidak berkualiti, sebagai peniaga jagalah imej. 

“Pejabat Kesihatan juga mewajibkan para peniaga untuk mengambil suntikan typhoid, kerana ianya salah satu syarat kepada mereka yang terlibat di dalalm sektor pengendalian makanan,” ujarnya. 

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Bazar Ramadan Lasar Kenyalang 1445H/2024M di Bintulu pada Khamis. 

Dalam pada itu, Iskandar juga mengucapkan tahniah kepada Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) kerana telah telah menyediakan tiga tapak Bazar Ramadan termasuk di Lasar Kenyalang Bintulu dengan 50 lot gerai, Bintulu Sentral dengan 48 lot gerai dan Samalaju dengan 13 lot gerai. 

Sementara itu, Pengurus Besar BDA Datu Muhamad Yakup Kari berkata, BDA telah mengorak langah dengan melancarkan visi yang baharu di bawah Pelan Strategik BDA 2024-2030, iaitu ‘Bintulu as a Model of Inclusivity, Liveablity and Sustainability’. 

“Dalam usaha membangunkan visi berkenaan, BDA telah pun mengambil pendekatan dan melihat secara menyeluruh keadaan landskap dan bukannya setakat melihat aspek ‘keterangkuman’ (Inclusivity), ‘boleh didiami’ (liveability) dan ‘kelestarian’ (Sustainablity). 

“Kita juga berhasrat ‘konsep boleh didiami’ (Liveablity) untuk penduduk dan masyarakat Bintulu dengan menyediakan infrastruktur, pencapaian perkhidmatan yang lebih efisien serta menyediakan persekitaran sosial yang kondusif ke arah ‘menyemai perasaan kekitaan’ (Sense of belonging) terhadap Bintulu,” katanya. 

Hadir sama Timbalan Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah BDA Dato Haidar Khan Asghar Khan, Timbalan Residen Bahagian Bintulu Abang Zainuddin Abang Turkey dan Penolong Pengurus Besar (Khidmat Environmen) BDA Maimunah Matali. -EDISI UKAS

Font Size AAA