Only available in Malay Version)
BINTULU: Majlis ramah-tamah Aidilfitri dilihat sebagai platform terbaik bagi menyatukan semua anggota masyarakat di negeri ini khususnya di Bintulu, kata Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datuk Len Talif Salleh.
Menurutnya, program rumah terbuka, majlis ramah-tamah dan sebagainya hingga ke peringkat kampung dan keluarga, menggambarkan utuhnya perpaduan dalam kalangan masyarakat majmuk di negeri ini.
"Justeru, Bintulu merupakan contoh terbaik bagaimana kerajaan, industri dan komuniti boleh bergabung dalam satu ekosistem yang kukuh dan harmoni," ujarnya.
Beliau berkata demikian semasa berucap mewakili Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada Majlis Ramah-Tamah Aidilfitri Bersama Premier Sarawak 2026 di Dewan Suarah Bintulu, hari ini.
Jelasnya, perpaduan pada masa kini bukanlah suatu kebetulan kerana ia sememangnya hasil daripada perancangan, kerjasama dan kepercayaan yang dibina sejak sekian lama.
"Inilah pendekatan Kerajaan Sarawak dalam pembangunan inklusif yang berteraskan rakyat bagi memastikan semua rakyat dapat menikmati kemakmuran hidup hasil daripada usaha bijak kepimpinan Premier Sarawak yang amat menitikberatkan soal kebajikan serta kesejahteraan rakyat," ujarnya.
Bintulu pada masa sekarang katanya, merupakan sebuah bahagian yang sedang mengalami pembangunan pesat serta progresif yang memberikan peluang kepada pelbagai sektor khususnya sosioekonomi semakin berkembang, seterusnya memajukan kehidupan penduduk dari semasa ke semasa.
Kerajaan Sarawak pada masa sama jelasnya, akan terus komited bagi memastikan pembangunan yang seimbang yang merangkumi pemerkasaan ekonomi tempatan, pembangunan bandar mampan serta kebajikan rakyat yang sentiasa dipelihara.
Apa yang dilakukan oleh BDA kini katanya, amat signifikan yang mana mereka bukan sekadar menganjurkan majlis namun membina satu platform di mana kerajaan, penggiat industri dan anggota masyarakat boleh duduk bersama-sama berkongsi rasa serta kegembiraan sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Justeru katanya, Bintulu memainkan peranan penting sebagai hab industri utama Sarawak, pusat pertumbuhan ekonomi strategik dan bandar yang mencerminkan keharmonian masyarakat majmuk.
"Pada masa sama, majlis seperti ini memberi mesej atau petanda yang sangat jelas bahawa pembangunan fizikal mesti seiring dengan pembangunan sosial bagi memastikan rakyat di negeri ini mencapai tahap kehidupan yang seimbang dan saling melengkapi ke arah Sarawak yang lebih gemilang pada masa depan," ujarnya.
Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) Datu Muhamad Yakup Kari, Timbalan Pengerusi BDA Dato Haidar Khan Asghar Khan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu Johnny Pang dan ADUN Jepak Iskandar Turkee antara yang hadir.