|
Dalam suasana kemajuan dan pembangunan
yang pesat, ada petanda lahirnya budaya hidup yang cenderung ke arah
individualisme terutama sekali di kalangan masyarakat Bandar. Banyak
usaha telah diambil untuk menanam semangat hidup bermasyarakat, namun
terdapat ruang yang boleh kita perbaiki untuk memantapkan usaha-usaha
ini bagi mencapai kehidupan masyarakat yang mesra, bermuafakat dan makmur.
Budaya hidup yang sihat perlu
diperkukuhkan dan diteruskan agar ianya boleh dikecapi untuk diwariskan
kepada generasi-generasi yang akan datang. Oleh yang demikian, perlu
diadakan pendekatan dan konsep baru yang menyeluruh, bersepadu dan berwawasan
untuk melahirkan masyarakat yang amat mesra, bermuafakat dan makmur.
Timbulnya usaha untuk mengadakan
Karnival Kejiranan 2005 adalah hasil daripada ilham YAB Pehin Sri Dr
Haji Adul Taib Bin Mahmud, Ketua Menteri Sarawak dan beliau seringkali
menyarankan kepada pemimpin-pemimpin yang lain di negeri ini untuk menekankan
konsep kejiranan dan kemesraan ini.
Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA)
telah menyahut saranan ini, dengan mengadakan Karnival Kejiranan seperti yang telah disarankan. Karnival Kejiranan
menggunakan konsep Pameran Pembangunan di mana 10 buah Rukun Tetangga
(RT) serta 11 buah Gerakan Desa Wawasan (GDW) telah berkampung di tapak
karnival iaitu di Lapangan Terbang Lama Bintulu.
Pelbagai aktiviti telah diadakan
sepanjang karnival tersebut. Ianya akan diteruskan lagi pada masa hadapan
dengan memilih beberapa buah kawasan penempatan sebagai lokasi aktiviti
seterusnya.
Tujuan utama Karnival Kejiranan
ini ialah untuk memupuk budaya hidup mesra melalui amalan nilai-nilai
murni dalam konteks masyarakat majmuk yang berteraskan penggembelengan
tenaga, fikiran dan tindakan secara sukarela dan kolektif.
Matlamat lain ialah untuk melahirkan perasaan kasih sayang
dan sikap bertanggungjawab di kalangan individu dalam masyarakat, mengeratkan
hubungan silaturrahim antara masyarakat dan mempertingkatkan suasana
harmoni dalam masyarakat. |
YAB
Pehin Sri Dr Haji Abdul Taib Mahmud merasmikan Karnival Kejiranan 2005
YAB
Pehin Sri Dr Haji Abdul Taib Mahmud di salah sebuah gerai GDW di tapak
karnival. |