Bintulu Marathon 2025 Kembali 3 Ogos – Laluan Baharu, Pendekatan Mesra Alam Tarik Lebih 7,000 Penyertaan
Posted on 19 May 2025
Source of News: RTM
(Only available in Malay version)

BINTULU, 13 Mei 2025 – Acara larian berprestij, Bintulu Marathon, kembali bagi edisi ketiganya pada 3 Ogos ini, dengan sasaran penyertaan melebihi 7,000 pelari dari dalam dan luar negara.
Penganjuran edisi 2025 menyaksikan pelbagai pembaharuan, termasuk laluan baharu menyusuri pesisir pantai Bintulu dan Jambatan Jepak, serta pendekatan mesra alam menerusi penggunaan cawan boleh guna semula dan pelaksanaan konsep tanpa kertas (paperless).
Maraton ini dianjurkan oleh Kelab Sukan Rekreasi Binda di bawah Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) dengan kerjasama strategik daripada Bintulu Port Holdings Berhad (BPHB).
Menurut Pengurus Besar BDA, Datu Muhamad Yakup Kari, acara ini bukan sahaja memperkukuh amalan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat, malah menjadi platform berimpak tinggi untuk mempromosikan sektor pelancongan sukan dan budaya tempatan ke peringkat antarabangsa.
“Laluan sudah disediakan dan kita tahun ini akan menayangkan serta berkongsi dengan dunia tentang pelarian di atas Jambatan Jepak Bintulu. Kita telah dan akan terus berusaha memastikan acara ini menjadi satu pengalaman yang menyeronokkan dan bermakna kepada semua peserta,” katanya dalam kenyataan media di Wisma Bintulu, petang tadi.
Sebanyak empat kategori larian ditawarkan iaitu Maraton Penuh (42KM), Separuh Maraton (21KM), Larian Kompetitif (10KM) dan Larian Santai (6KM).
Tapak acara turut dimeriahkan dengan gerai makanan, persembahan kebudayaan, serta reruai penaja, menjadikan Bintulu Marathon sebagai sebuah acara komuniti berskala besar yang inklusif.
Bagi edisi kali ini, medal dan baju finisher edisi khas 2025 direka berinspirasikan budaya tempatan Bintulu, manakala hadiah wang tunai turut ditawarkan kepada pemenang bagi kategori terbuka, veteran, kebangsaan dan Sarawak.
Pendaftaran kini dibuka secara dalam talian, dan orang ramai dijemput untuk turut serta menyemarakkan acara larian terbesar di Borneo ini.
Wartawan dan Photo – ISKANDAR SHAH
#beritartmsarawak #bda #bintulumarathon2025