Agenda Sifar Sisa Bintulu Diperkasa Melalui Kolaborasi BDA-UPMS
Posted on 21 Jan 2026
Source of News: UKAS
BINTULU: Agenda pengurusan sisa mampan di Bintulu terus diperkukuh menerusi kerjasama strategik antara Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) dan Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS), dengan penekanan terhadap pemerkasaan belia serta pendekatan berasaskan komuniti sebagai pemangkin perubahan tingkah laku masyarakat.
Setiausaha BDA, Wan Ibrahim Wan Ali berkata, kerjasama tersebut direalisasikan melalui penganjuran bersama Program Ke Arah Sifar Sisa di Bintulu: Pemerkasaan Alam Sekitar Belia 2026, selain penglibatan BDA sebagai rakan peneraju inisiatif Towards Zero Food Waste in Bintulu bersama UPMS.
Menurutnya, pendidikan dan kesedaran awam menjadi asas penting dalam membentuk budaya pengurusan sisa yang bertanggungjawab sebelum pelaksanaan penyelesaian praktikal di peringkat komuniti dilaksanakan secara menyeluruh.
“BDA berbesar hati menjadi penganjur bersama program ini serta rakan peneraju inisiatif Towards Zero Food Waste in Bintulu bersama Universiti Putra Malaysia Sarawak.
“Kerjasama ini mencerminkan komitmen bersama untuk memperkukuh amalan pengurusan sisa di Bintulu, bermula dengan kesedaran dan pendidikan sebelum beralih kepada penyelesaian praktikal berasaskan komuniti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Program Ke Arah Sifar Sisa di Bintulu: Pemerkasaan Alam Sekitar Belia 2026 dan Majlis Pelancaran Aplikasi KitarNow di Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) Kampus Bintulu, pada Selasa.
Program tersebut turut menyaksikan pelancaran aplikasi KitarNow yang dibangunkan oleh UPMS dengan sokongan BDA, sekaligus memperkukuh peranan teknologi sebagai pemudah cara dalam menyokong amalan kelestarian alam sekitar.
Wan Ibrahim menjelaskan, KitarNow bukan sekadar platform digital, malah berfungsi sebagai alat praktikal bagi menggalakkan perubahan tingkah laku positif serta meningkatkan penglibatan komuniti dalam amalan kitar semula dan pengurusan sisa yang lebih sistematik.
Sementara itu, Pengarah Kampus Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB), Profesor Dr Shahrul Razid Sharbini berkata, pembangunan aplikasi KitarNow mencerminkan komitmen universiti dalam memanfaatkan inovasi teknologi bagi menyokong amalan kelestarian secara praktikal dan mudah diakses oleh masyarakat.
Menurut beliau, aplikasi tersebut direka bagi membantu komuniti memahami amalan kitar semula, menyokong konsep ekonomi kitaran serta menggalakkan pengurusan sisa yang lebih bertanggungjawab dalam kehidupan seharian.
Turut hadir Pengerusi Persekutuan Persatuan Wanita Sarawak (PPWS) Dato Norhyati Mohd Ismail, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Bintulu (Sektor Pembangunan Murid) Awgku Ali Udin Awang Adenani, Pengarah Institute of Ecosystems Science Borneo Dr Syeed Saiful Azry Osman Al Edrus, Dekan Fakulti Sains Pertanian dan Perhutanan UPMS Profesor Madya Dr Noorsasmah Saupi serta Pengarah Program Dr Keeren Sundara Rajoo.-EDISI UKAS